Dokumen tersebut memberikan ringkasan tentang gimrama. Ia menjelaskan sejarah, jenis pertandingan, dan alat-alat yang diperlukan untuk gimrama seperti bola, tali, gelung, reben, dan belantan. Dokumen ini juga menyenaraikan ciri-ciri setiap alat serta pakaian yang digunakan dalam gimrama.
1. Topik X Gimrama
7
HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Menyatakan ciri-ciri sejarah gimrama;
2. Mengkategorikan jenis pertandingan dalam gimrama; dan
3. Menyenaraikan alatan yang diperlukan untuk pertandingan
gimrama.
X PENGENALAN
Gimnastik berirama atau gimrama merupakan suatu sukan yang sangat
istimewa dan menarik perhatian. Sukan ini telah menjadi semakin popular
dalam kalangan peserta dan penonton. Sukan gimrama memerlukan kemahiran
yang tinggi serta kelembutan dan koordinasi tubuh badan yang baik di samping
daya kreativiti mencipta gerakan. Sukan gimrama juga merupakan suatu
program kecergasan fizikal khususnya bagi pelajar-pelajar perempuan serta
kaum wanita pada semua peringkat umur.
7.1 SEJARAH DAN PERKEMBANGAN
Gimrama merupakan salah satu disiplin sukan gimnastik. Gimrama telah
diiktiraf sebagai gerakan gimnastik oleh Persekutuan Gimnastik Antarabangsa
(FIG). Gimrama merupakan pergerakan atau senaman yang dilakukan atas
lantai serentak dengan iringan muzik. Gimrama boleh dilakukan sama ada
menggunakan alatan atau tanpa alatan yang kecil pada tangan. Pergerakan
gimrama berkoordinasi tinggi dan bersifat estetik serta mesti dilakukan secara
licin dan berterusan. Pergerakan dalam gimrama boleh dikatakan menyerupai
pergerakan tarian tetapi mempunyai ciri yang tersendiri. Pada asasnya, ciri-ciri
2. 176 X TOPIK 7 GIMRAMA
pergerakan gimrama perlu mempunyai ciri-ciri gimnastik serta mempunyai
perkaitan yang rapat antara tiga komponen asas, iaitu pergerakan tubuh badan,
penggunaan peralatan dan irama muzik (lihat Rajah 7.1 dan Rajah 7.2).
Rajah 7.1: Pergerakan gimrama mesti dilakukan secara licin dan berterusan
Rajah 7.2: Gimrama juga boleh dilakukan sama ada
dengan atau tanpa peralatan yang kecil di tangan
Pergerakan asas gimrama dipercayai mula diperkenalkan sejak seabad yang
lalu di benua Eropah. Pada masa itu, gimrama dianggap sebagai pergerakan
gimnastik artistik dan tidak mempunyai undang-undang dan peraturan yang
piawai. Pengasas sukan gimrama adalah seorang pensyarah berbangsa Swiss,
3. TOPIK 7 GIMRAMA W 177
iaitu Jacques Dalcroze. Beliau telah membuka dua buah maktab perguruan di
Switzerland dan Jerman. Beliau juga telah memperkenalkan latihan pergerakan
gimrama kepada penuntut-penuntutnya dalam abad ke-19.
Pada awal abad ke-20 terdapat dua orang tokoh gimrama dari negara Jerman
yang memberi sumbangan yang besar dalam sukan ini. Rudolph Bode (1881ă
1970) dan Hernrich Medau (1890ă1974) telah memulakan sekolah gimrama
mereka sendiri. Mereka juga telah memperkenalkan perkaitan antara aktiviti
tarian dan gimnastik dengan iringan muzik. Medau memperkenalkan peralatan
bola, gelung dan belantan untuk sukan gimrama.
Pada tahun 1962, Persekutuan Gimnastik Antarabangsa telah mengiktiraf
gimnastik berirama moden sebagai suatu sukan tersendiri. Pertandingan di
peringkat gimrama peringkat antarabangsa yang pertama ialah Kejohanan
Gimrama Sedunia yang berlangsung di Budapest, Hungary pada tahun
1963. Sejak itu, kejohanan ini menjadi kalendar tetap persatuan dengan
dipertandingkan setiap dua tahun sekali. Selain itu, beberapa pertandingan
di peringkat antarabangsa yang lain seperti Kejohanan Eropah (European
Championship) dan Kejohanan Empat Benua (Four Continents Championship)
telah dimulakan pada tahun 1978. Sukan gimrama telah dipertandingkan buat
pertama kali di Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
7.2 KEPERLUAN ALATAN ASAS UNTUK
MEMULAKAN GIMRAMA
Dalam sukan gimrama, peralatan merupakan keperluan yang asas. Gimnas
biasanya akan memulakan latihan dengan lima peralatan yang telah diiktiraf
oleh Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) iaitu bola, tali, reben, gelung
dan belantan (lihat Rajah 7.3). Namun, bagi pertunjukan atau persembahan
gimnastik, peralatan-peralatan lain seperti skaf, bendera atau kayu boleh
digunakan. Dalam pertunjukan atau persembahan, penggunaan peralatan adalah
mengikut pilihan.
Rajah 7.3: Peralatan yang digunakan dalam sukan gimrama
4. 178 X TOPIK 7 GIMRAMA
Biasanya para gimnas akan memiliki peralatan mereka sendiri sebab mereka
akan merasa selesa menggunakan peralatan sendiri. Peralatan sendiri juga sesuai
dengan kehendak dan susuk tubuh gimnas dari segi saiz dan berat.
7.2.1 Tali
Tali gimrama boleh didapati di kedai sukan di bahagian peralatan mendaki
gunung dan juga di bahagian peralatan kapal. Tali yang digunakan oleh
kebanyakan gimnas ialah hem atau sintetik dan berukuran tali sepanjang 3 m
dan tebal 8 mm mengikut kesesuaian dan fizikal gimnas (Rujuk Rajah 7.4).
Gimnas yang lebih kecil fizikalnya boleh menggunakan tali yang berukuran 2 m
panjang dan tebal 6mm. Gimnas dibenarkan menggunakan pita pelekat
sepanjang 10 sm tetapi tidak dibenarkan menggunakan apa jua pemegang pada
hujung tali.
Spesifikasi Tali
Jadual 7.1 menerangkan spesifikasi tali.
Jadual 7.1: Spesifikasi Tali
Spesifikasi Penerangan
Bahan Hem atau sebarang bahan sintetik yang mempunyai kualiti yang sama.
Panjang Mengikut tinggi gimnas, tali diukur apabila gimnas berdiri dengan
memijak di tengah tali dan kedua-dua hujung tali diangkat ke aras ketiak
gimnas.
Warna Satu atau dua warna kecuali warna perak dan emas.
Rajah 7.4: Tali yang digunakan oleh kebanyakan gimnas diperbuat daripada hem atau
sintetik
5. TOPIK 7 GIMRAMA W 179
Rajah 7.5: Ukuran panjang tali
7.2.2 Gelung
Gelung yang digunakan oleh gimnas boleh didapati di kedai sukan atau di kedai
permainan. Ia dibuat daripada plastik, rotan atau kayu biasa. Tinggi gelung yang
sesuai perlulah sampai ke paras punggung apabila ditegakkan di tepi gimnas.
Terdapat juga gimnas yang membalut gelung dengan pita pelekat berwarna-
warni. Balutan ini bertujuan untuk menguatkan cantuman gelung serta
menambahkan berat gelung dan menjadikannya lebih menarik.
Rajah 7.5: Gelung berpita
6. 180 X TOPIK 7 GIMRAMA
Rajah 7.6: Gelung berpita agak menarik jika disamakan dengan baju gimnas
7.2.3 Bola
Bola adalah salah satu disiplin wajib dalam gimrama. Bola yang digunakan
untuk gimrama adalah bola yang dibuat untuk gimrama dan mengikut
spesifikasi serta diiktiraf oleh Persatuan Gimnastik Antarabangsa (FIG). Namun
demikian, sekiranya bola tersebut tidak dapat disediakan bola sepak, bola jaring
atau bola getah saiz 4 boleh digunakan untuk berlatih kemahiran asas seperti
melantun dan menggolek. Bagi gimnas junior atau kanak-kanak, saiz bola yang
lebih kecil boleh digunakan.
Spesifikasi Bola
Jadual 7.2 di bawah menerangkan spesifikasi bola yang digunakan untuk
gimrama.
Jadual 7.2: Spesifikasi Bola
Spesifikasi Penerangan
Bahan Getah atau bahan sintetik dengan anjalan
Garis pusat 18ă20 sm
Berat 400 g minimum
Warna Satu atau dua warna kecuali warna perak dan emas
7. TOPIK 7 GIMRAMA W 181
Rajah 7.7: Bola yang digunakan untuk gimrama adalah mengikut spesifikasi serta
diiktiraf oleh Persatuan Gimnastik Antarabangsa
7.2.4 Belantan
Belantan boleh didapati dari kedai sukan tetapi sukar untuk direka bentuk.
Dalam gimrama, acara belantan dianggap sebagai acara yang memerlukan
kemahiran yang tinggi dan latihan yang banyak. Persembahan belantan biasanya
dikuasai oleh gimnas yang lebih berpengalaman.
Spesfikasi Belantan
Jadual 7.3 menerangkan spesifikasi belantan.
Jadual 7.3: Spesifikasi Belantan
Spesifikasi Penerangan
Bahan Kayu atau bahan sintetik, boleh dibalut dengan pita pelekat.
Panjang 40ă50 sm
Berat 150 g minimum bagi satu belantan
Bentuk Serupa bentuk botol, bahagian yang lebar sekali ialah badan. Garis pusat
pada tapak belantan sekurang-kurangnya 2 ó sm.
Bahagian yang kecil pada hujung lain bulatan di panggil kepala, garis
pusatnya tidak melebihi 3sm.
Warna Satu atau dua warna kecuali warna perak dan emas.
8. 182 X TOPIK 7 GIMRAMA
Rajah 7.8: Dalam gimrama penggunaan belantan dianggap sebagai alat yang
memerlukan kemahiran yang lebih tinggi dan latihan yang banyak
7.2.5 Reben
Kebanyakan reben yang didapati di kedai adalah terlalu ringan dan ia cepat
tersimpul, terkusut dan mudah terkoyak pada bahagian tepinya. Kain yang
paling sesuai untuk dibuat reben ialah satin, nilon yang berat atau sutera. Kain
reben yang mempunyai berat yang sesuai penting untuk menghasilkan corak
reben yang baik dan juga senang untuk dibaling.
Panjang reben boleh diubah suai mengikut saiz fizikal dan keupayaan gimnas.
Bagi gimnas yang berpengalaman, mereka perlu menggunakan reben yang
berukuran 6m tetapi bagi gimnas yang baru atau kanak-kanak yang berumur
12 tahun ke bawah, mereka bolehlah menggunakan reben yang panjangnya
4 hingga 5 m. Reben tersebut disangkut pada bahagian hujung dengan kayu.
9. TOPIK 7 GIMRAMA W 183
Spesifikasi Reben
Jadual 7.4 menerangkan spesifikasi reben.
Jadual 7.4: Spesifikasi Reben
Spesifikasi Penerangan
Bahan Satin atau bahan lain yang serupa dan tidak berkanji.
Lebar 4ă6 sm
Panjang Jumlah panjang sebenar ialah 7 m, satu meter di lipat pada hujungnya
seperti pada Rajah 2.9 supaya menjadi 6 sm
Berat 35 g minimum (tidak termasuk kayu dan penyangkutnya)
Warna Satu atau dua warna kecuali warna perak dan emas.
Rajah 7.9: Kain yang paling sesuai untuk dibuat reben ialah satin, nilon yang berat atau
sutera
10. 184 X TOPIK 7 GIMRAMA
Spesifikasi Kayu Penyangkut Reben
Jadual 7.5 menerangkan spesifikasi kayu penyangkut reben.
Jadual 7.4: Spesifikasi Kayu Penyangkut Reben
Spesifikasi Penerangan
Bahan Kayu, plastik, buluh atau fibre glass. Hujung kayu sepanjang
10 sm maksimum boleh dibalut dengan pita untuk cengkaman
yang lebih baik.
Bentuk Bulat atau berbentuk kon.
Garis pusat 1 sm maksimum pada bahagian yang lebar sekali.
Panjang 50ă60 sm termasuk cincin penyangkut.
Dawai Penyangkut Panjangnya 7 sm maksimum. Boleh menggunakan benang,
dawai atau mata kail.
Rajah 7.10: Material kayu boleh terdiri daripada kayu, plastik, buluh atau „fibre glass‰
7.2.6 Pakaian
Dalam menjalani latihan, gimnas boleh memakai pakaian yang selesa dan sesuai
untuk bergerak, iaitu seluar trek (track bottom) atau seluar pendek dengan
baju T atau leotard dengan atau tanpa seluar ketat (tights). Sementara dalam
peringkat pertandingan, penganjur akan hanya membenarkan peserta memakai
leotard dan tights atau leotard sahaja. Namun, ini adalah bergantung pada
jenis dan taraf pertandingan. Dalam pertandingan peringkat sekolah atau
11. TOPIK 7 GIMRAMA W 185
kelab, peraturan pakaian boleh diubah suai. Pengelola pertandingan boleh
membenarkan pakaian baju T dan seluar trek, manakala dalam pertandingan
peringkat antarabangsa, hanya pakaian leotard dengan atau tanpa tights
dibenarkan.
Rajah 7.11: Contoh pakaian yang dipakai oleh gimnas
Mengikut undang-undang sukan ini, leotard yang dipakai semasa pertandingan
mestilah berpandukan pada beberapa peraturan. Bukaan di bahagian leher
depan dan belakang badan tidak boleh terlalu luas sehingga menjolok mata.
Garis di punggung juga tidak dibenarkan terlalu tinggi sehingga mendedahkan
bahagian punggung. Leotard boleh dipakai dengan atau tanpa lengan tetapi
pakaian seperti pakaian renang atau pakaian tarian juga tidak dibenarkan. Kain
leotard boleh terdiri daripada apa juga warna kecuali warna emas dan perak.
Kain nipis yang lut sinar atau lut cahaya tidak dibenarkan.
Ramai antara gimnas berlatih dan bertanding tanpa memakai kasut. Walau
bagaimanapun jika gimnas ingin memakai kasut semasa pertandingan, dia boleh
memakai kasut yang khas untuk gimrama. Kasut gimrama biasanya diperbuat
daripada kulit atau kain.
Rajah 7.12: Contoh kasut yang dipakai oleh gimnas
12. 186 X TOPIK 7 GIMRAMA
7.3 TEMPAT LATIHAN
Tempat yang paling sesuai untuk menjalankan latihan gimrama ialah di dalam
dewan tertutup (lihat Rajah 7.13). Di bahagian atas hendaklah kosong dan tidak
mempunyai halangan seperti lampu, palang, rasuk dan struktur lain. Oleh itu,
dewan sekolah, panggung, dewan orang ramai atau gudang merupakan tempat
yang sesuai. Pada peringkat permulaan, siling yang tinggi tidak diperlukan
tetapi apabila gimnas telah berpengalaman, balingan peralatannya akan menjadi
lebih tinggi dan ia memerlukan siling yang lebih tinggi.
Rajah 7.13: Dewan yang digunakan latihan dan pertandingan gimrama mestilah
bersesuaian dengan gerakan gimnas
13. TOPIK 7 GIMRAMA W 187
Selain daripada siling, permukaan lantai perlu dipertimbangkan juga.
Permukaan lantai mestilah bersih dan tidak terlalu licin. Permaidani yang lembut
adalah amat sesuai sebagai lantai dewan untuk latihan dan acara gimrama
(lihat Rajah 7.14). Ramai antara gimnas biasanya berlatih di dalam dewan
dengan menggunakan tilam untuk kemahiran yang sukar seperti gulingan.
Namun kadangkala, tilam akan menghalang beberapa pergerakan seperti
gulingan gelung dan lantunan bola. Luas kawasan bagi pertandingan hendaklah
berukuran 12 m u 12 m tetapi untuk latihan, luas kawasan ini adalah tidak
diwajibkan. Gimnas boleh berlatih di mana-mana tempat yang sesuai.
Rajah 7.14: Permaidani yang lembut adalah amat sesuai sebagai lantai dewan untuk
latihan dan acara gimrama
7.4 UNDANG-UNDANG AM
Bentuk acara-acara yang dipertandingkan dalam gimrama bergantung pada jenis
dan taraf pertandingan yang diadakan. Biasanya pada peringkat antarabangsa,
pertandingan dan acara adalah mengikut peraturan dan undang-undang teknik
seperti yang telah ditetapkan dalam Buku Undang-undang (Code of Points) yang
disediakan oleh Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG). Buku ini adalah
penting dan sangat berguna, bukan sahaja kepada para hakim dan pegawai
pertandingan tetapi juga kepada para jurulatih dan gimnas. Dalam buku ini,
teknik yang diperuntukan untuk sesuatu latihan serta sistem peruntukan markah
diberikan. Setiap empat tahun sekali, buku undang-undang gimrama biasanya
dikaji semula dan diubah suai mengikut keperluan. Selain itu, terdapat juga
perubahan dan pemindaan yang dibuat dari semasa ke semasa. Pertandingan
Gimrama Sukan Malaysia dan Kejohanan Peringkat Antarabangsa seperti Sukan
SEA adalah berpandukan peraturan dan undang-undang Persekutuan Gimnastik
Antarabangsa (FIG).
14. 188 X TOPIK 7 GIMRAMA
Pada amnya, bagi pertandingan yang rasmi atau kejohanan yang mengikuti
undang-undang FIG terdapat dua acara pertandingan yang utama:
(a) Acara latihan sukarela yang dipersembahkan oleh seorang gimnas sahaja
pada suatu kawasan yang tertentu. Gimnas akan menggunakan satu
peralatan untuk setiap latihan atau rutinnya. Acara ini disebut
pertandingan individu atau latihan sukarela individu.
(b) Acara latihan sukarela dipersembahkan oleh sekumpulan gimnas (biasanya
enam orang gimnas serentak pada suatu kawasan yang ditetapkan). Setiap
kumpulan akan menggunakan satu atau dua jenis peralatan yang berlainan
bagi setiap latihan. Acara ini disebut pertandingan latihan berpasukan atau
latihan berkumpulan.
Latihan Sukarela Individu
Terdapat tiga jenis pertandingan dalam acara ini iaitu:
(a) Pertandingan I ă Acara Berpasukan
(i) Setiap pasukan perlu terdiri daripada tiga atau empat orang gimnas.
(ii) Setiap pasukan mesti mempertunjukkan 10 latihan, iaitu dua latihan
bagi setiap peralatan. Peralatan yang digunakan ialah tali, bola,
gelung, belantan dan reben.
(iii) Setiap gimnas dalam pasukan boleh mempersembahkan satu hingga
empat latihan maksimum dengan menggunakan peralatan yang
berlainan. Dengan itu, setiap peralatan akan dipersembahkan oleh
dua gimnas yang berlainan dalam satu pasukan.
(iv) Dalam menentukan johan pasukan, jumlah mata yang diperoleh
daripada semua gimnas akan diambil kira. Pasukan yang mendapat
agregat mata tertinggi dianggap sebagai pasukan johan (jumlah mata
maksimum: 100).
(v) Pertandingan I merupakan pusingan kelayakan untuk masuk ke
Pertandingan II dan III.
(b) Pertandingan II ă Acara Individu Keseluruhan
(i) Hanya gimnas yang telah mempersembahkan sekurang-kurangnya
tiga latihan dalam Pertandingan I akan dipertimbangkan untuk
pertandingan ini. Tiga jumlah mata yang terbaik akan diambil kira
untuk setiap gimnas.
(ii) Seramai 26 peserta terbaik dalam pertandingan I layak bertanding
untuk pertandingan individu keseluruhan. Penyertaan ini terhad
kepada dua peserta dari setiap pasukan.
15. TOPIK 7 GIMRAMA W 189
(iii) Dalam pertandingan ini, setiap peserta mesti mempertunjukkan
empat latihan dengan empat peralatan yang ditetapkan oleh
Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG).
(iv) Untuk menentukan johan individu keseluruhan, jumlah mata yang
diperoleh daripada keempat-empat latihan yang dipertunjukkan akan
diambil kira. Peserta yang mendapat mata terbanyak akan menjadi
johan individu keseluruhan (jumlah mata maksimum: 40).
(c) Pertandingan III ă Pusingan Akhir untuk Setiap Peralatan
(i) Lapan peserta terbaik (dengan maksimum dua peserta setiap
pasukan) bagi setiap peralatan yang dipertandingkan dalam
Pertandingan I layak menyertai Pusingan Akhir untuk setiap
peralatan.
(ii) Peserta yang memperoleh mata tertinggi bagi sesuatu acara peralatan
akan menjadi johan bagi peralatan berkenaan (jumlah mata
maksimum: 10).
7.5 PRINSIP-PRINSIP DALAM PENGAJARAN
DAN PEMBELAJARAN GIMRAMA
Gimrama ialah pergerakan yang dilakukan segerak dengan ritma untuk
menghasilkan pergerakan tubuh badan yang berkoordinasi dan estetik.
Pergerakan tersebut dilakukan secara berseorangan atau berkumpulan, tanpa
atau dengan alatan dan secara licin atau berterusan. Gimnastik diajar melalui
tujuh jenis pergerakan tubuh badan seperti imbangan, melentik, meringkuk dan
melunjur, gerak edar, pusingan badan, lompatan dan ketangkasan. Tujuan
pergerakan tersebut ialah untuk meningkatkan kelenturan, ketangkasan,
imbangan, kelajuan, koordinasi, kuasa dan kekuatan.
Terdapat beberapa pertimbangan penting yang dijadikan sebagai prinsip dalam
pengajaran dan pembelajaran gimrama iaitu:
(a) Pergerakan Tubuh Badan
Penekanan harus diberi terhadap kepentingan menyedari tentang
wujudnya perkaitan antara tubuh badan dengan ruang dan daya semasa
melakukan pergerakan. Bahagian-bahagian tubuh badan dan keseluruhan
tubuh badan digunakan bagi menghasilkan sesuatu pergerakan dengan
menggunakan teknik yang betul. Penekanan juga harus diberikan terhadap
penghasilan pergerakan yang cantik.
16. 190 X TOPIK 7 GIMRAMA
(b) Teknik Alatan
Penekanan terhadap kemahiran menggunakan alatan. Terdapat pelbagai
alatan yang digunakan dalam gimrama yang berbeza dari segi sifat dan
bentuknya seperti:
(i) Alatan bulat dan padu
(ii) Alatan bulat dan leper
(iii) Alatan lembut dan berombak
(iv) Alatan panjang, langsing dan lembut
(v) Alatan keras dan padu
Bentuk dan jenis alatan menentukan cara bagaimana untuk
memanipulasinya. Teknik yang betul akan menghasilkan manipulasi alatan
yang terkawal.
(c) Kesedaran Hubungan antara Alatan dengan Pergerakan Tubuh Badan
Guru harus menggalakkan penggunaan alat dalam lakuan yang
bersesuaian mengikut ritma atau irama.
(d) Kesedaran Terhadap Ritma
Pelajar perlu peka terhadap pelbagai jenis ritma dan irama.
(e) Rangkaian Pergerakan
Rangkaian pergerakan harus dilakukan dalam ruang, manakala pergerakan
tubuh badan dan manipulasi alatan harus dilakukan mengikut ritma dan
irama. Bagi mereka cipta satu rangkaian pergerakan, rangkaian yang
dihasilkan haruslah licin dan berterusan; alatan digunakan dalam pelbagai
cara dan disesuaikan dengan pergerakan tubuh badan; pergerakan
berkoordinasi dengan alatan dan mengikut perubahan rentak irama; dan
perlu menunjukkan variasi masa dan ruang bagi menggambarkan kreativiti
pelaku.
(f) Kepentingan Faktor Kecergasan Diri
Kemahiran asas gimrama secara tidak langsung dapat membina
ketangkasan, kelenturan, imbangan, koordinasi, kecekapan dan kelajuan.
(g) Fahaman Terhadap Pusat Graviti
Pusat graviti ada kaitannya dengan kedudukan badan, imbangan dan
putaran. Oleh yang demikian, fahaman terhadap konsep pusat graviti
dalam gimrama adalah sangat penting.
17. TOPIK 7 GIMRAMA W 191
SEMAK KENDIRI 7.1
1. Senaraikan spesifikasi alatan yang digunakan untuk pertandingan
gimrama.
2. Berikan ciri-ciri tempat yang sesuai bagi latihan dan pertandingan
gimrama.
x Gimrama merupakan salah satu disiplin sukan gimnastik dan telah diiktiraf
sebagai gerakan gimnastik oleh Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG).
x Pergerakan gimrama berkoordinasi tinggi dan bersifat estetik serta mesti
dilakukan secara licin dan berterusan.
x Pergerakan asas gimnastik berirama dipercayai mula diperkenalkan sejak
seabad yang lalu di benua Eropah.
x Pada tahun 1962, Persekutuan Gimnastik Antarabangsa telah mengiktiraf
gimnastik berirama moden sebagai suatu sukan tersendiri.
x Pertandingan gimrama peringkat antarabangsa yang pertama ialah
Kejohanan Gimrama Sedunia yang berlangsung di Budapest, Hungary pada
tahun 1963.
x Sementara itu, sukan gimrama telah dipertandingkan buat pertama kali di
Sukan Olimpik 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
x Dalam sukan gimrama, peralatan merupakan keperluan yang asas.
x Gimnas biasanya akan memulakan latihan dengan lima peralatan yang telah
diiktiraf oleh Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) iaitu bola, tali,
reben, gelung dan belantan.
x Tali yang digunakan oleh kebanyakan gimnas ialah hem atau sintetik dan ia
berukuran sepanjang 3 m dengan ketebalan 8 mm mengikut kesesuaian dan
fizikal gimnas.
x Gelung yang digunakan oleh gimnas dibuat daripada plastik, rotan atau
kayu biasa.
18. 192 X TOPIK 7 GIMRAMA
x Tinggi gelung yang sesuai perlulah sampai ke paras punggung apabila
ditegakkan di tepi gimnas.
x Bola yang digunakan untuk gimrama adalah bola yang dibuat untuk
gimrama dan mengikut spesifikasi serta diiktiraf oleh Persatuan Gimnastik
Antarabangsa (FIG).
x Dalam gimrama, penggunaan belantan dianggap sebagai alat yang
memerlukan kemahiran yang tinggi dan latihan yang banyak.
x Kain yang paling sesuai untuk dibuat reben ialah satin, nilon yang berat atau
sutera.
x Panjang reben boleh diubah suai mengikut saiz fizikal dan keupayaan
gimnas.
x Dalam menjalani latihan, gimnas boleh memakai pakaian yang selesa dan
sesuai untuk bergerak, iaitu seluar trek (track bottom) atau seluar pendek
dengan baju T atau leotard dengan atau tanpa tights.
x Dalam peringkat pertandingan, penganjur akan hanya membenarkan peserta
memakai leotard dan tights atau leotard sahaja.
x Bentuk acara-acara yang dipertandingkan dalam gimrama bergantung pada
jenis dan taraf pertandingan yang diadakan.
Belantan Pertandingan I
Bola Pertandingan II
Gelung Pertandingan III
Gelung berpita Plastik
Gimnas Reben
Gimnastik berirama moden Rotan
Hem atau sintetik Satin
Kayu biasa Sukan Olimpik
Kejohanan Dunia Sutera
Nilon yang berat Tali
19. TOPIK 7 GIMRAMA W 193
Buschner, C. A. (1994). Teaching children movement concepts and skills.
Champaign, IL: Human Kinetics.
Gallahue, D. L. (1996). Developmental physical education for todayÊs children
(3rd ed.). Dubuque, IL: Brown & Benchmark.
Graham, G. (1992). Teaching physical education: Becoming a master teacher.
Champaign, IL: Human Kinetics.
Hopple, C. J. (1995). Teaching for outcomes in elementary physical education: A
guide for curriculum and assessment. Champaign, IL: Human Kinetics.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2000). Sukatan pelajaran pendidikan
jasmani. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.
Lo, J. S. (1993). Siri sukan popular fajar bakti gimrama. Kuala Lumpur: Penerbit
Fajar Bakti.