Abstrak. Pemasaran digital adalah komunikasi moden yang menggunakan internet dan teknologi digital serta mempunyai hubungan dengan komunikasi tradisional untuk mencapai matlamat pemasaran syarikat. Kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti kebolehan dalam strategi pemasaran dan tahap pendigitalan perniagaan dari aspek pengetahuan dalam pemasaran digital. Usahawan di kalangan belia merupakan golongan yang perlu diberikan perhatian dalam memperkasakan perniagaan melalui platform e-dagang. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif di mana borang soal selidik diedarkan secara dalam talian dengan pensampelan seramai 100 orang belia yang terdiri daripada pelajar dan alumni Politeknik Malaysia yang terlibat dengan perniagaan dalam talian. Kajian rintis dijalankan ke atas 30 orang belia yang menjalankan perniagaan dalam talian bagi menentukan kebolehpercayaan instrumen kajian. Analisis statistik deskriptif dengan menggunakan perisian SPSS digunakan bagi menganalisis min dan sisihan piawai. Hasil kajian mendapati kebolehan belia dalam strategi pemasaran dan tahap pengetahuannya dalam pemasaran digital berada pada tahap tinggi dengan skor min masing-masing sebanyak 4.06 dan 4.00. Kesimpulannya, kebolehan dan pengetahuan yang tinggi dalam strategi pemasaran secara digital dapat membantu meluaskan peluang usahawan dalam meningkatkan jualan produk dan perkhidmatan.