1. 1. Kesalahan penggunaan di.
Perkataan ‘di’ yang didekat atau dijauhkan, ialah asas Bahasa Melayu kepada saya. Malah saya percaya,
hampir kesemua daripada kita pernah diajar oleh cikgu bagaimana menggunakan perkataan ‘di’ dengan
betul. Malangnya masih ramai penulis blog yang keliru atau tidak tahu bagaimana menggunakan perkataan
tersebut sesuai dengan hukum tatabahasa. Sebagai peringatan, suka saya uar-uarkan di sini bahawa
perkataan ‘di’ hanya boleh dirapatkan sekiranya melibatkan kata kerja. Jelas bukan?
2. Penggunaan tanda baca noktah berulang (…..) secara keterlaluan.
Perlu diingat penggunaan noktah berturutan tidak dibenarkan sama sekali dalam penulisan. Sebaliknya
perlu digantikan dengan salah satu tanda baca seperti noktah, koma, titik bertindih, atau tanda baca yang
lain mengikut kesesuaian ayat. Sekiranya penggunaan tanda noktah berturutan diperlukan untuk
menggambarkan nada yang panjang, maka hanya tiga titik berturut sahaja dibenarkan, tidak boleh lebih
atau kurang.
3. Kesalahan penggunaan kata hubung Justeru itu.
Penulis kita cenderung menggunakan ‘Justeru’ sebagai penanda wacana. Saya akui itu adalah usaha yang
cukup bagus untuk memperkaya perkataan boombastik dalam blog masing-masing. Malangnya satu yang
mereka lupa ‘justeru’ ialah kata hubung yang membawa maksud ‘malahan’ atau ‘bahkan’. Jadi perkataan
tersebut memang tidak boleh digunakan sebagai penanda wacana walau dengan apa cara sekalipun.
4. Kerancuan bahasa.
Saya tidak akan menghuraikannya di sini kerana saya telah menulisnya dalam artikel saya yang terdahulu.
Sila rujuk kesilapan semasa menulis blog untuk membacanya.
5. Penggunaan perkataan ‘ni’ di setiap akhir ayat.
Pelik tapi benar, penulis blog kita gemar meletakkan perkataan ‘ni’ / ‘nie’ pada setiap akhir ayat,
terutamanya mereka yang bergelar penulis blog gosip. Mungkin ada benarnya perkataan ‘nie’ diletak
bertujuan melembutkan nada dan intonasi, tetapi alasan tersebut tidak cukup kuat untuk mengubah
hakikat bahawa ianya merupakan salah satu contoh kesalahan berbahasa yang cukup tolol di mata saya.
6. Penggunaan kata ganti nama diri ketiga ‘ia’ untuk menggantikan benda atau sesuatu
perkara.
Sebagai contoh: Salah satu langkah untuk mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja
adalah dengan menjalankan kempen. Ia perlu diadakan secara besar-besaran.
‘ia’ sepatutnya digantikan dengan subjek perbincangan iaitu, kempen.
Pembetulan: Kempen ini perlu diadakan secara besar-besaran.
7. Menjadikan penulisan seperti trengkas.
Ini merupakan fenomena terbaru muda-mudi kita. Menjadikan penulisan ala-ala
trengkas. Saya jadi sy,minta jadi minx, malah baik boleh dieja sebagai ba8! Saya tidak tahu apa rasional
di sebalik penulisan seperti itu, tetapi ianya cukup mengganggu tumpuan pembaca. Sekiranya digunakan
untuk menghantar SMS, mungkin benar ada rasionalnya. Berikutan jumlah karakter yang dihadkan untuk
satu SMS, tetapi untuk penulisan… Saya rasa itu dungu!
Renung-renungkanlah, bagaimana agaknya kita berbicara mengenai minat masing-masing kepada dunia
penulisan dan blog melayu yang kononnya membuak-buak, sekiranya 7 kesalahan tatabahasa tahap rendah
seperti di atas ini pun gagal ditelusuri.
Atas dasar itu saya lebih gemar menulis komen dalam blog yang mengambil berat 7 kesalahan umum
seperti di atas berbanding membuang masa membaca blog yang taksub dengan ranking Alexa dan Page
Rank blog yang tinggi.